19 Ogos 2006

Intel perkenal 10 prosesor 290 juta transistor


INTEL Corporation (Intel), gergasi pengeluar cip komputer dunia memperkenalkan 10 prosesor Core 2 Duo dan Core 2 Extreme, dengan reka bentuk arkitektur terkini yang dapat menjimatkan penggunaan tenaga, walaupun memiliki 291 juta transistor di dalamnya. Cip prosesor Core 2 Duo adalah cip yang hanya menggunakan 40 peratus tenaga, tetapi pada masa sama tidak berkompromi dengan prestasi untuk dimanfaatkan bagi kegunaan aplikasi sekarang dan masa depan.

Pengarah Pengurusan Jenama Rumah Digital Intel, Charlotte Lamprecht, berkata cip prosesor Intel Core 2 Duo dihasilkan menggunakan teknologi proses silikon 65 nanometer yang mampu meningkatkan 40 peratus kecekapan prestasi dan pengurusan tenaga. Katanya, dengan teknologi arkitektur mikro milik Intel, teknologi Core 2 Duo membolehkan komputer melaksanakan pelbagai fungsi pada masa yang sama.

“Misalnya, komputer boleh melaksanakan berbilang tugasan serentak seperti menulis mel elektronik dan pada masa sama memindah turun muzik atau video atau mengimbas virus,” katanya di Kuala Lumpur, minggu lalu. Beliau berkata, cip ini juga dapat meningkatkan prestasi kerja seperti melihat dan bermain video atau melindungi komputer peribadi ketika urus niaga perdagangan elektronik serta meningkatkan jangka hayat bateri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...