19 Ogos 2006

as-Salihin hasilkan perisian faraid


KEMAJUAN dalam dunia digital turut memberi sumbangan besar kepada umat Islam, terutama membantu memudahkan pelbagai urusan yang membabitkan kepentingan Islam. Berdasarkan kemajuan itu, as-Salihin Trustee Bhd (as-Salihin) berjaya menghasilkan perisian khusus untuk kemudahan dalam pembahagian harta Faraid.

Ketua Eksekutifnya, Abdul Aziz Peru Mohamed, berkata produk itu dianggap pertama seumpamanya dihasilkan di negara ini dibangunkan dalam usaha memudahkan pelanggan as-Salihin mengetahui bahagian agihan harta di kalangan ahli keluarga. Katanya, perisian berkenaan, FaST Guide yang dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman syarikat, dijangka berada di pasaran menjelang September atau Oktober ini dengan harganya RM200 untuk orang awam dan RM100 bagi ahli as-Salihin. Beliau berkata, sebelum ini kaedah pembahagian agihan harta Faraid agak rumit dengan membabitkan beberapa kaedah tertentu yang sudah pasti akan melambatkan proses tertentu.

“Melalui sistem ini, berapa jumlah agihan yang perlu dilakukan dapat diperoleh dalam masa singkat,” katanya ketika memperkenalkan perisian itu di Kuala Lumpur, kelmarin. FaST Guide yang bermaksud panduan pemegang amanah Faraid as-Salihin, panduan rujukan pantas yang membantu menentukan agihan secara Faraid harta peninggalan seseorang yang sudah meninggal dunia berpandukan kaedah “pokok keluarga”. Panduannya yang dihasilkan melalui penggunaan grafik pokok yang membahagikan bahagian tertentu seperti suami, isteri dan anak lelaki serta perempuan. Pengguna dengan mudah mendapat jawapannya apabila mengklikkan jumlah suami atau isteri dan anak-anak. Jawapan diberikan tepat dan profesional.

Produk ini sudah selesai prototaipnya dan kini dalam peringkat dikemaskini sebelum dipasarkan pada bulan depan atau Oktober ini. As-Salihin adalah syarikat amanah yang dibentuk di bawah Akta Syarikat 1965 dan didaftarkan di bawah Akta Syarikat Amanah 1949, bagi memenuhi keperluan umat Islam untuk memelihara, melindungi dan mengagihkan harta secara profesional selepas mereka mati nanti. Ia mempunyai modal dibenar RM5 juta dan modal berbayar RM900,000.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...