17 Jun 2008

PUIP galak manfaatkan Internet secara positif


Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah memperkenalkan Program Penggunaan Internet Secara Positif (PUIP) di kalangan pengguna Internet, termasuk menggalakkan penggunaan perisian penapisan kandungan sebagai langkah mengawal kanak-kanak daripada terdedah kepada kandungan 'sampah' seperti laman web lucah di dalam Internet. Antara perisian penapisan kandungan yang dicadangkan ialah anti bahan lucah daripada www.tueagles.com/anti-porn, yang mana ibu bapa boleh mencegah kanak-kanak daripada melawat laman web berkenaan. Begitu juga dengan parental filter yang disediakan khusus untuk menghalang capaian ke laman web tertentu & boleh dimuat turun daripada laman web www.freeware4pc.com/internet/parentalfilter.html dan www.cyberpetrol.com serta www.webroot.com.

Kaedah mengawal selia sendiri kandungan Internet dengan menggalakkan penggunaan secara positif adalah antara tindakan kerajaan untuk membendung gejala negatif hasil daripada penggunaan Internet. Bimbingan ibu bapa dan pemantuan di rumah amat penting sebagai cara melindungi anak-anak daripada terdedah kepada kandungan negatif di dalam Internet seperti laman web lucah, terutama kepada golongan kanak-kanak & remaja, yang memerlukan bimbingan & kawalan. Perisian penapisan kandungan juga memainkan peranan penting untuk menghalang mereka daripada memasuki laman web tidak diingini sama ada secara sengaja atau tidak.

Bagaimanapun, kerajaan tidak bercadang menapis atau mengawal penggunaan Internet & lebih cenderung untuk menggalakkan orang ramai melakukan tapisan sendiri bahan yang tidak diingini. Dianggarkan 74% daripada laman web lucah itu memaparkan diri mereka sebagai laman web selamat serta mudah dibuka menggunakan enjin carian. Kajian juga mendapati apabila carian untuk laman web kartun seperti Pokemon, My Little Pony & Action Man, ia turut dikelilingi beratus-ratus laman web lucah. Statistik yang dikeluarkan Badan Bertindak Pencegahan Penderaan Seksual Kanak-kanak (MCPCSA) mendedahkan ada lebih kurang 1.5 juta laman web lucah yang mudah dicapai di Internet.

15 Jun 2008

Hotspot@home permudah akses jalur lebar di rumah

Ramai yang mahukan sambungan talian Internet jalur lebar diakses dengan cepat & mudah di kediaman mereka. Bagaimanapun kemudahan seperti ini hanya boleh dinikmati melalui sambungan Internet sistem rangkaian tanpa wayar (wireless). Sebagai penyedia perkhidmatan Internet utama negara, TM Net Sdn Bhd (TM Net) komited dalam menyajikan kemudahan Internet terbaik kepada pengguna. Bagi membuktikan komitmen itu, ia telah memperkenalkan pek "hotspot@home". Pek hotspot@home adalah tawaran TM Net yang menyediakan perkhidmatan sistem rangkaian internet tanpa wayar untuk membolehkan pengguna mengakses sambungan Internet jalur lebar (broadband) secara berkongsi dengan mudah & cepat setiap masa di mana saja dalam kediaman.


Perkhidmatan ini membolehkan komputer, pencetak & perkakasan teknologi lain berkongsi satu sumber tanpa wayar. Hotspot ini memanfaatkan teknologi IEEE802.11b atau lebih dikenali dengan WiFi (wireless fidelity) & adalah standard antarabangsa daripada Institut Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik (IEEE) untuk sistem rangkaian setempat tanpa wayar dengan kapasiti operasi sehingga 11 Mbps (mega bit sesaat). Jarak pancarannya adalah antara 50 meter & 300 meter daripada titik akses. Dengan menyokong standard IEEE, hotspot TM Net ini membolehkan pengguna mengakses data pada bila-bila masa & di mana saja tanpa had. Bagi menikmati kemudahan ini, pengguna hanya memerlukan peralatan PDA (personal digital assistant) mudah alih, komputer peribadi (PC) atau notebook yang dilengkapi dengan kad LAN (local area network) tanap wayar 802.11b standard & akaun hotspot TM Net.

Kini banyak komputer dilengkapi dengan kemudahan ini. Pengguna boleh mendapatkan pek hotspot@home ini di mana saja cawangan TMpoint, TMNet Clickers, kedai servis bertauliah (CASO) atau wakil jualan TMNet Streamyx yang sah.

14 April 2008

Kerjasama sistem operasi Linux, Microsoft

Jurang perbezaan & kesukaran untuk menggunakan sistem operasi Linux & Microsoft secara bersama kini mampu dikurangkan melalui gabungan mantap Novell Inc & Microsoft Corp yang bekerjasama menyelesaikan masalah berkenaan. Ia dilakukan melalui 4 kerjasama termasuk sistem maya (virtual system), pengurusan pangkalan maklumat, pengurusan identiti & pembukaan format dokumen. Sistem maya ini menjadi semakin popular memandangkan kos untuk pusat data semakin mahal kerana mereka perlu memasukkan pelbagai 'input' dalam pelayan (server) malah ruang untuk meletak pelayan juga menjadi isu penting ekoran fizikalnya yang agak besar.
Kerjasama terbabit memastikan sistem Linux & Microsoft dapat dinikmati pengguna pelbagai industri yang mahukan lebih capaian untuk kedua-duanya sekaligus. Kelebihan utama kerjasama kedua-dua pihak dapat memberi manfaat jelas kepada semua. Jika dilihat dari segi pelayan & OpenXML, kelebihan untuk ketua operasi teknologi maklumat (CIO) membolehkannya menggunakan 2 pelayan yang beroperasi melalui platform Linux & Microsoft sekaligus. Kesepaduan Linux & Microsoft itu turut menyediakan pengalih format yang membolehkan format OpenXML dibuka melalui Linux.

15 Februari 2008

Keselamatan Internet hadapi 4 perubahan

Trend Micro, syarikat perisian anti virus terkemuka dunia telah mengesan 4 perubahan ketara dalam persekitaran keselamatan Internet membabitkan serangan virus, phishing, serangan dari dalam organisasi & bahasa Cina semakin popular dikalangan spyware. Ancaman keselamatan Internet telah mengalami perubahan ketara berbanding tahun sebelumnya, terutama ketiadaan serangan virus secara besar-besaran sejak setahun lalu. Bagaimanapun, ia masih terlalu awal untuk diperkatakan. Walaupun Trend Micro masih tidak mengesan serangan virus secara besar-besaran seperti yang terjadi pada tahun 2003, terdapat 4 perubahan ketara dalam persekitaran Internet.

Antara yang dikesan ialah malware kini berubah daripada serangan secara massa kepada sasaran tertentu & bermotifkan kewangan. Pada masa lalu penulis virus adalah anak muda yang cuba mendapat pengiktirafan daripada rakan sejawat atau menunjukkan kehebatan mereka kepada wanita yang hendak dipikat. Bagaimanapun, keadaan sekarang berubah daripada anak muda yang cuba mendapatkan pengiktirafan kepada bermotifkan wang. Mereka kini menjadi penjenayah profesional yang mencuri duit menggunakan teknologi maklumat & komunikasi (ICT) canggih. Pada masa sama mereka mencari sasaran kumpulan kecil komputer bagi mengelakkan ia dikesan, Trend Micro telah mengesan serangan secara khusus terhadap sasaran tertentu. Misalnya, syarikat atau organisasi korporat atau kumpulan tertentu. Virus trojan khas akan dihantar kepada sasaran khas yang dihantar menerusi e-mel bagi mencuri maklumat sulit.
Untuk phishing (mencuri maklumat sulit & menyamar sebagai individu berkenaan), menyaksikan perubahan teknik & taktik. Teknik yang biasa digunakan ialah memperdayakan pengguna Internet dengan menyatakan alamat palsu bagi menarik minat mereka menghantar e-mel. Penceroboh sistem rangkaian komputer terkini memanfaatkan pendekatan 'Spear-Phishing' yang disasarkan kepada sasaran tertentu. Teknik itu menyaksikan virus trojan dilepaskan kepada sasaran khusus & virus berkenaan akan mengumpul & menghantar balik data yang dipilih kepada pihak ke-3. Perbezaan antara serangan virus besar-besaran & sasaran khusus ialah persediaan sebelum serangan. Bagi sasaran khas, virus trojan akan berada lama dalam sistem komputer kerana ia akan mengumpulkan seberapa banyak maklumat sulit yang ada.

Oleh kerana objektif serangan virus adalah khusus, sumber serangan akan dipelbagaikan & ini menyukarkan bagi pihak yang diserang mengesan tapak serangan. Sebelum ini, ia lebih mudah kerana menggunakan teknik serangan besar-besaran. Pada masa sama virus terbabit dapat mengelak daripada peralatan pengesan & menjadikan ia dapat bersembunyi dalam jangka waktu agak lama. Penceroboh sistem rangkaian komputer juga menggabungkan serangan spyware & phishing dan lebih banyak serangan phishing pada masa depan. Serangan kali ini lebih berbahaya kerana mereka mencuri maklumat sensitif berbanding dulu yang hanya merosakkan sistem rangkaian komputer. Trend Micro telah mengesan spyware yang menggunakan bahasa Cina yang mana virus trojan itu akan menyamar sebagai program pesanan ringkas dari China yang dikenali sebagai QQ serta menawarkan akaun QQ dilengkapi dengan spyware.

09 Februari 2008

Amaran virus pura-pura beri mesej Hari Kekasih

Awas pengguna-pengguna komputer peribadi! Pakar keselamatan telah memberikan amaran kepada pengguna komputer peribadi supaya berhati-hati mengenai virus yang berpura-pura sebagai mesej Hari Kekasih yang boleh merosakkan komputer. Pengguna komputer perlu lebih berwaspada terhadap sebarang mesej romantik yang diterima menerusi e-mel sebegini yang kebanyakannya berniat jahat seperti cecacing yang digelar Nurech.A.

Mel yang mengandungi cecacing tersebut antaranya berbunyi: "Together You and I" (Kita sentiasa bersama) & "Til the End of Time Heart of Mine" (Kau dihatiku hingga ke akhirnya). Penerima yang membuka fail yang disertakan seperti postcard.exe akan menyebabkan virus itu menyerang komputer. Firma keselamatan Symantec pula telah mendakwa mereka berjaya mengesan spam berskala besar dalam e-mel termasuk kuda Trojan, satu program yang mengandungi virus atau program jahat.
Malware adalah versi baharu Trojan, Peacomm atau Storm Trojan. Dengan Hari Kekasih semakin dekat, inilah masanya penceroboh cuba menarik hati pengguna yang tidak menyangka apa-apa dengan subjek romantik seperti 'My Heart belongs to you'. Trojan adalah sama seperti yang kita lihat sebelum ini, perbezaannya cuma penulis menggunakan packer yang diubahsuai dalam usaha mengelakkan ia dikesan oleh vendor antvirus. Pengguna dinasihatkan supaya tidak membuka sebarang e-mel mencurigakan tidak kira isi kandungannya.

04 Februari 2008

4 bahasa dalam Internet

Microsoft Corp (M) Sdn Bhd, telah memperkenalkan sistem operasi (OS) yang menggunakan 4 bahasa utama di negara ini iaitu bahasa Melayu, Cina, Tamil & Inggeris bagi membolehkan lebih ramai menikmati capaian Internet & mengurangkan jurang digital antara bandar & luar bandar. Sistem operasi itu yang dikenali sebagai edisi permulaan (starter edition) Windows XP pelbagai bahasa adalah lanjutan daripada usaha Microsoft menghasilkan sistem operasi menggunakan bahasa Melayu. Sistem operasi Windows XP pelbagai bahasa itu adalah sistem operasi pertama di dunia yang memiliki 4 bahasa yang mana pengguna boleh beralih dari satu bahasa kepada bahasa lain.

Kadar penembusan komputer peribadi (PC) yang masih rendah di Malaysia iaitu lebih kurang 19% berbanding kadar penembusan televisyen yang boleh disifatkan sebagai hampir 100%. Malaysia memiliki kira-kira 5.2 juta isi rumah. Kelebihan sistem ini ialah ia memiliki lebih 20 sistem yang sudah dipertingkatkan kemampuannya, termasuk panduan permulaan yang mengandungi 13 babak tutorial video untuk membantu pengguna bermula. Fail "My Support Help" menyediakan pelan pelajaran & bantuan berasaskan grafik untuk membantu pengguna baharu & langkah keselamatan bagi menentukan perlindungan sambungan Internet beroperasi sepanjang masa.
Dari segi teknikal, keperluan sistem maksimum turut berubah daripada 40GB kepada 80GB (gigabait), peningkatan RAM (memori capaian rawak) daripada 128MB kepada 256MB (megabait), peningkatan resolusi komputer peribadi kepada 1024x768 piksel serta pertukaran pembaca cakera padat daripada CD-RW (ReWritable) kepada DVD-ROM (Read Only Memory). Harga yang ditawarkan untuk sistem operasi berkenaan bersama komputer peribadi ialah RM1288 bersama Windows XP Starter Edition, Encarta & Microsoft Works 8.5. Kajian yang telah dijalankan Microsoft Malaysia terhadap lebih 1000 keluarga menunjukkan permasalahan utama ialah capaian, kemampuan untuk memiliki, bahasa & ia tersedia di pasaran. Bilangan pengguna komputer peribadi di dunia dijangka melebihi 1 bilion pada 2010, meningkat daripada lebih kurang 675 juta ketika ini kerana wujud permintaan bagi negara di rantau Asean, China, India, Russia, & Brazil.

26 Januari 2008

Jika Internet sedunia lumpuh

Syarikat Trend Micro pernah meramalkan sehingga akhir tahun 2006, hampir 80% daripada e-mel yang beredar adalah berstatus spam. Apakah ancaman besar lain terhadap Internet pada masa kini? Salah satu serangan ke atas Internet dinamakan sebagai penafian perkhidmatan (Denial of Service - DoS). Serangan DoS ini merupakan satu tindakan di mana seorang pengguna atau organisasi sepatutnya menerima sesuatu sumber perkhidmatan seharian. Dengan lain perkataan pelucutan perkhidmatan itu adalah ketidakupayaan sesuatu jaringan perkhidmatan tersedia ada seperti perkhidmatan e-mel tidak dapat berfungsi lagi.

Penafian perkhidmatan boleh juga berbentuk seperti kehilangan sementara akan semua jaringan rangkaian. Satu contoh yang paling jelas ialah tapak web (website) yang berjuta-juta manusia melayarinya tiba-tiba tidak berfungsi. Web tidak beroperasi. Operasi Internet terhenti. Maka Internet boleh lumpuh! Serangan berbentuk DoS boleh merosakkan program-program & fail dalam sistem komputer. Lazimnya serangan DoS dibuat dengan niat jahat & ada kalanya boleh terjadi dengan tidak semena-mena. Serangan DoS adalah sejenis pecah amanah keselamatan kepada sistem komputer. Bagaimanapun ia tidak melibatkan kecurian terhadap maklumat-maklumat atau kecurian keselamatan lain. Apa yang pasti adalah pemilik komputer atau organisasi yang bergantung pada komputer akan menanggung kos yang tinggi sama ada dari segi kewangan atau masa.
Melumpuhkan

Serangan DoS dikhuatiri akan melumpuhkan jaringan Internet kerana ia menyerang pula pelayan-pelayan komputer yang mengatur lalu lintas Internet dunia. Jika ini berlaku maka ia dapat mengalihkan data-data yang tidak diperlukan dalam jumlah yang besar ke beberapa komputer korbannya. Serangan DoS kini tidak mungkin dapat diatasi oleh teknologi yang dipakai oleh komputer-komputer milik perusahaan besar buat masa ini. Dalam satu kes di Amerika Selatan, serangan DoS telah menyebabkan sebuah pelayan Internet telah diambil alih oleh penyerang lalu memusnahkan perkhidmatan-perkhidmatan yang diisikan ke dalamnya. Pelayan tersebut merupakan salah sebuah pusat pengendalian lalu lintas Internet di seluruh dunia. Serangan yang berlaku pada awal tahun lepas hanya memanfaatkan sekitar 6% daripada sejumlah 1 juta pelayan Internet dunia. Serangan ini pun sudah dikira seperti ribut Katrina di Internet. Serangan ini berkuasa hingga 8 gigabit sedetik.

Jika serangan boleh menjangkau sebanyak 1,500 serangan maka serangan sejumlah itu boleh melumpuhkan tapak-tapak web komersial, para penyedia pelayan sambungan Internet & perusahaan penyedia infrastruktur Internet selama berminggu-minggu. Penyerang yang menggunakan teknik DoS ini kononnya menghantar permintaan-permintaan palsu bagi meminta izin untuk mengakses komputer-komputer lainnya. Sasaran pengguna Internet yang diserang tidak menjangka sama sekali ia akan menjadi korban DoS. Senario serangan DoS ini mirip apa yang berlaku pada Oktober 2002 dulu di mana 13 buah komputer 'root server' yang mengatur lalu lintas Internet terganggu kerana serangan ini. Seorang peneliti teknologi dari Helsinki University of Technology, Finland, pernah meramalkan bahawa wujudnya beragam-ragam virus komputer & spam e-mel dalam jumlah yang besar boleh menyebabkan kepunahan Internet pada masa akan datang. Menurut beliau, awal kejatuhan Internet akan berlaku pada tahun 2006. Analisisnya berdasarkan kepada trend di dunia maya mengenai spam & virus yang saat ini sedang bermaharajalela. Benarkah ramalan beliau?

23 Januari 2008

MS07-17 atasi virus fail .ani

Microsoft telah melancarkan satu perlindungan perisian yang mampu membaik pulih kerosakan serius dalam sistem operasi Windows & Vista seminggu sebelum ia sepatutnya melancarkan kemas kini (update) bulanannya. Syarikat perisian komputer terbesar dunia itu menyediakan perlindungan itu susulan serangan penggodam (hacker), kebanyakannya berpengkalan di China yang disasar untuk mengeksploitasi kelemahan Microsoft. Kerosakan itu dikenalpasti dalam fail .ani Windows & Vista yang mengubah penunjuk arah (cursor) keapda ikon gelas kaca ketika komputer sedang menjalankan program. Kehadiran banyak aktiviti membabitkan fail .ani telah dikesan ketika hujung minggu. Kerosakan itu sangat mudah untuk dieksploitasi & ia boleh dilancarkan melalui laman web atau e-mel dengan begitu mudah. Versi Vista Home yang telah dilancarkan Januari 2007 dianggap sebagai perisian paling selamat pernah dihasilkan, menurut syarikat Microsoft yang berpangkalan di Washington. Eksploitasi fail .ani membolehkan penggodam mencari jalan untuk menerobos ke dalam program seperti perisian 'malware' yang dapat mencuri nama pengguna (username) & kata kunci dengan mengesan jenis pengguna melalui papan kekunci komputer. Microsoft menggesa pemilik komputer untuk memasang pelindung kecemasan, rekaan MS07-017, daripada laman web keselamatannya yang dikemaskini. Perisian Windows mengendalikan kira-kira 95% komputer persendirian di dunia.

22 Januari 2008

FBI cipta sistem pintas e-mel

Polis Amerika Syarikat (AS) mencipta & menggunakan satu sistem yang dapat memintas & membaca e-mel pengguna Internet. Sistem laju itu, yang digelar Carnivore (Karnivora) dapat membaca satu juta e-mel sesaat. Ini bermakna pengguna Malaysia yang menghantar e-mel ke AS atau yang menggunakan khidmat e-mel percuma yang berpusat di negara itu seperti Hotmail & Yahoo boleh dipintas & disimpan dalam storan. Data ini dapat dikeluarkan menggunakan kaedah biasa pencarian pangkalan data, seperti kita menggunakan enjin carian Hotbot, misalnya.

Karnivora dipasang pada satu PC yang memintas semua lalu linats e-mel di negara itu & mempunyai keupayaan untuk menyaring kandungan dengan menggunakan kata kunci atau memilih sebarang pengguna sebagai identiti sasaran. Pencipta sistem itu, Biro Siasatan Persekutuan AS (FBI), membangunkan sistem pemintas ini di sebuah makmal khasnya. Sejak dilancarkan 2 tahun lepas ia digunakan untuk mengesan kira-kira 100 kes jenayah. FBI pernah mempamerkan sistem itu kepada pakar industri yang terkejut dengan keupayaannya & isu moral berkaitan. Ramai pemerhati bimbang FBI akan menggunakan sistem ini untuk tujuan bukan jenayah seperti mengumpul data pengguna, perbankan dalam talian & pemilihan laman web. Dalam pelaksanaannya, FBI meletakkan sistem PC yang dipasang Karnivora dipusat pembekal Internet. PC itu dikunci & hanya boleh disentuh oleh ejennya yang datang setiap hari untuk mengambil data dalam storan.

Menurut FBI, Karnivora lebih tepat daripada sistem pemintasan data Internet sebelum ini kerana ia membolehkan agensi memintas data berkaitan identiti sasaran daripada berjuta-juta lalu lintas digital lain. Versi awal sistem ini yang digelar Omnivore tidak dapat berbuat demikian walaupun ia dapat menyedut sehingga 6 gigabit data setiap jam. Agensi itu bagaimanapun mengakui bahawa Karnivora tidak dapat menterjemahkan data yang dikodkan rahsia. E-mel itu boleh dipintas tetapi ia terpaksa diterjemahkan menggunakan kaedah lain. Kebanyakan kes jenayah yang membabitkan penggunaan Karnivora adalah yang berkaitan dengan pemburuan penggodam (hacker), anti pengganas & pengedaran dadah. Pemerhati bebas bimbang sistem ini menggugat hak peribadi pengguna Internet & tidak ada akta yang dapat menyekat FBI untuk menggunakan Karnivora bagi sebarang matlamat. Ia seperti memintas semua perbualan telefon.

Untuk rujukan, hampir semua khidmat e-mel percuma seperti Hotmail & Yahoo berpusat di AS. Semua e-mel dari tempat lain ke Amerika juga boleh dipintas oleh Karnivora. Penentang projek itu mencadangkan pengguna yang menghantar data sensitif seperti maklumat perniagaan menggunakan program pengekodan untuk menyukarkan FBI membaca e-mel mereka. Lebih baik lagi, kuatkan keselamatan data dengan menggunakan tanda tangan digital. Mereka juga mencadangkan pengguna belajar menggunakan identiti atau secara 'autonomous'. Ramai juga berpendapat bahawa Karnivora menandakan tamatnya idea Internet yang asal sebagai satu tempat bebas bagi seluruh penduduk planet ini. Mereka bimbang FBI akan mengedarkan sistem ini kepada semua pasukan polis di dunia untuk mengumpul data rakyat mereka.

16 Januari 2008

Amerika curi maklumat pengguna telefon di Internet


Pihak berkuasa Amerika Syarikat telah melanggar undang-undang perlindungan hak awam kerana tidak mengemukakan sapina & waran apabila mengumpul maklumat peribadi pelanggan telefon tetap & bimbit yang diperoleh secara haram oleh broker data sektor swasta. Pihak terbabit termasuk Biro Siasatan Persekutuan (mI) & agensi lain Jabatan Keselamatan Dalam Negeri selain pegawai polis pihak berkuasa tempatan di California, Colorado, Florida, Georgia & Utah. Malah, pakar percaya beratus-ratus jabatan lain turut menggunakan khidmat & cara sama.

The Associated Press (AP) pernah memetik dokumen siasatan Kongres dalam laporan eksklusifnya telah melaporkan, broker terbabit, kebanyakannya mengiklankan keupayaan mereka di Internet, bertindak menceroboh akaun orang ramai secara dalam talian (online). Mereka kemudiannya memperdayakan syarikat pengendali khidmat telefon mendedahkan maklumat itu. Malah, ada secara terang-terangan mengakui & menyedari perbuatan itu bertentangan undang-undang. "Kami meminta semua bentuk maklumat yang anda miliki mengenai akaun telefon bimbit ini & pemiliknya termasuk aktiviti terbabit secara alamat pemiliknya," menurut salah satu surat dikemukakan seorang pegawai penyiasat polis di Redwood City, California yang telah dikemukakan kepada syarikat swasta, PDJ Investigations. Seorang lagi pegawai Pejabat Penguatkuasa Imigresen & Kastam Amerika di Denver turut telah mengemukakan surat sama, juga kepada PDJ - meminta semua maklumat mengenai akaun nombor telefon yang dikemukakannya.

Siasatan Kongres menganggarkan kerajaan Amerika telah membelanjakan lebih AS$30 juta (RM111 juta) beberapa tahun lalu bagi membeli maklumat peribadi daripada broker persendirian berkenaan. Namun, urus niaga terbabit adalah sebahagian daripada transaksi yang mengikut broker terbabit ada kalangan diberikan secara percuma. Syarikat PDJ telah berkata, ia sentiasa memberikan khidmat berkenaan secara percuma kepada polis. Banyak agensi lain dari seluruh negara yang turut mengambil kesempatan di atas cara itu, menurut peguam PDJ.

6,000 pelajar IPT pelajari Linux

Syarikat penyedia perisian Novell, menjangkakan lebih 6,000 pelajar di institusi pengajian tinggi tempatan bakal mempelajari program Linux dalam tempoh 2 tahun menerusi inisiatif program latihannya. Menerusi inisiatif itu, universiti & kolej telah menawarkan program Linux pada separuh kedua tahun lepas. Program latihan itu akan dilaksanakan menerusi institut teknikal Novell di negara ini, NCL Solutions Sdn Bhd. Syarikat akan menyediakan bahan bagi tujuan latihan itu & disertakan perisian berlesen Linux menerusi NCL pada kadar yang sudah disubsidikan. Pada peringkat akhir kursus ini, setiap pelajar akan menerima sijil & kemudian mereka boleh menduduki kursus persijilan profesional Linux yang disahkan Novell. Sijil itu turut mendapat pengiktirafan dikalangan vendor, majikan & profesional teknologi maklumat (IT) di seluruh dunia. Novell juga telah memeterai memorandum persefahaman dengan 7 universiti tempatan & kolej bagi menawarkan sumber terbuka & Linux sebagai sebahagian daripada kurikulum mereka.

11 Januari 2008

TM R&D & Velchip bangunkan BPL

Bagi meningkatkan infrastruktur jalur lebar (broadband) di negara ini, TM Penyelidikan & Pembangunan Sdn. Bhd. (TMRND) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan Perjanjian Pelesenan Teknologi dengan sebuah penyelesaian rangkaian, Velchip. Dengan MoU berkenaan, TMRND & Velchip akan bersama-sama membangunkan produk Broadband Powerline (BPL) yang akan memudahkan penyampaian data kelajuan tinggi menerusi tenaga elektrik ke rumah & perniagaan di seluruh negara.

Kedua-dua syarikat teruja dengan proses produk BPL & pembangunan teknologi jalur lebar yang akan membuka era baharu bukan saja kepada syarikat telekomunikasi tetapi juga perniagaan & pengguna. Kini jalur lebar telah menjadi kunci utama perkhidmatan bagi rangkaian talian tetap & mudah alih. TMRND yakin kerjasama dengan Velchip, pihaknya akan menghasilkan produk BPL yang mencipta kapasiti bagi rangkaian operator bagi menghantar aplikasi lebar jalur (wideband) seperti persidangan video (video conferencing), aliran audio & video (streaming), permainan interaktif, perkhidmatan suara masa sebenar yang membawa Triple Play menjadi realiti. Malah, pihaknya bercadang menawarkan perkhidmatan berkenaan kepada 6 juta kediaman di seluruh negara. Velchip juga mendapat hak bagi mengilang, memasarkan & mengedar produk BPL yang dibangunkan di bawah terma Perjanjian Perlesenan Teknologi. Selain Malaysia, syarikat berkenaan juga bercadang memasarkan produknya ke China, India & Timur Tengah yang menawarkan potensi lebih besar. Syarikat velchip percaya perkongsian dapat mengukuhkan kekuatan syarikat berkenaan bagi membentuk satu piawaian bagi produk untuk kemudahan penggunaan, fungsi & mampu dibeli bagi permintaan pasaran kini.

Kerjasama dengan TMRND akan memberikan sinergi bagi menjelajah & meningkatkan inovasi jalur lebar sehingga ke hadnya. Velchip telah menyediakan platform BPL yang eksklusif pada 1998 & telah menggunakannya sebagai asas bagi meningkatkan skim rangkaian Wide Area Network (WAN) & Local Area Network (LAN). Velchip juga bercadang untuk menggunakan adapter 'homeplug' 224 Mbps supaya ia boleh menjadi tawaran bersama. Modem talian kuasa saiz tapak tangan hanya memerlukan pengguna menggunakan mana-mana plug di dinding & membolehkannya bersambung dengan kabel Ethernet atau terus kepada Wi-Fi. Ini akan memberikan pengguna akses serta merta kepada perkhidmatan Triple Play dengan suara, data & video yang disediakan dalam sambungan tunggal. MoU berkenaan berlangsung selama 5 tahun & akan diperbaharui secara automatik bergantung kepada keadaan & perjanjian.

09 Januari 2008

ONSPEED tingkat kelajuan capaian dail masuk


Syarikat pemecutan Internet United Kingdom (UK), ONSPEED bersama Teamwork, sebuah syarikat strategik & telekomunikasi tempatan, telah melancar sebuah program kemasyarakatan di Malaysia bagi mengatasi jurang digital. ONSPEED akan digunakan di Malaysia serta lain-lain negara di rantau Asia Pasifik untuk membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan kadar penembusan jalur lebar. Melalui program dikenali sebagai 'Up and Over the digital Divide - With ONSPEED', sebuah sekolah & persatuan perniagaan tempatan akan dilengkapi dengan ONSPEED secara percuma selama setahun. Syarikat akan menilai kesan ONSPEED ke atas komuniti berkenaan & menggunakan pengalaman itu untuk membantu masyarakat di tempat lain di rantau ini bagi mengasingkan kaedah inovatif & kos efektif menggunakan ONSPEED ketika menangani masalah jurang digital itu.

Syarikat tersebut peka dengan matlamat utama kerajaan untuk mencapai sasaran 10% keseluruhan penduduk dapat menikmati faedah Internet jalur lebar menjelang 2008. Oleh itu, tidak mustahil kesan aplikasi ONSPEED terhadap kira-kira 2.5 juta pelanggan dail masuk sedia ada di Malaysia boeh dirasai dalam tempoh sehari. Dengan hanya membuat satu proses pindah turun (download) mudah perisian ONSPEED ke dalam komputer, pengguna sudah boleh melayari laman web & menghantar atau menerima e-mel 5 kali lebih laju tanpa perkakasan tambahan. Perisian ONSPEED boleh digunakan pada sebarang penyambungan Internet di mana sahaja di dunia ini tanpa menghiraukan siapakah penyedia perkhidmatan itu.

Keunikan ONSPEED ialah ia amat memudahkan, secara automatik perisian ONSPEED yang dipasang dalam komputer pengguna akan memampatkan data disalurkan. Rahsia di sebalik kejayaan ONSPEED ialah Pemampatan Kandungan Sensitif (CSC). CSC diasaskan pada satu siri algoritma kompleks mampat yang mengoptimumkan kandungan setiap fail dalam e-mel atau laman web, sekaligus ia menghasilkan keputusan dramatik dari segi kelajuan capaian. Teknologi pemampatan itu dilandaskan pada 9 paten. Faedah ONSPEED kepada pengguna bukan saja meningkatkan kelajuan penyambungan ke Internet, malah boleh membantu menjimatkan masa penyambungan, terutama pengguna yang menggunakan kaedah dail masuk (dial-up). Kos ONSPEED ialah RM15 sebulan berbanding kos dail masuk RM15 sejam tidak termasuk yuran tahunan. Dengan ONSPEED, pengguna dail masuk boleh berjimat setiap minit ke atas masa penyambungan. Kecekapan & produktiviti boleh ditingkatkan sehingga 500% , hanya membabitkan kira-kira seperlima daripada kos keseluruhan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...