19 Ogos 2006

Google umum beli syarikat aplikasi foto


Google Inc (Google), penyedia perkhidmatan carian mengumumkan aktiviti pembelian syarikat yang membangunkan perisian pengenalan foto, Neven Vision untuk digunakan dalam membangunkan aplikasi pengurusan foto percuma Google, Picasa. Perisian Neven Vision ketika ini sudah diperkenal di dalam telefon mudah alih dan aplikasi biometrik yang digunakan kerajaan Amerika Syarikat dan penguat kuasa undang-undang. Pengenalan program terhadap aplikasi Google itu boleh mengenal pasti gambar tempat dan individu secara automatik bagi memudahkan aktiviti carian menerusi paltform itu. Teknologi yang akan diperkenalkan itu nanti akan memudahkan pelayar internet untuk mencari foto dan seterusnya menguruskannya mengikut kesesuaian. Ia adalah semudah seperti mengesan sama ada gambar yang terkandung di dalam platform carian Google itu berunsurkan individu, lokasi dan objek. Bagaimanapun, google tidak menyatakan rancangan terhadap produk lain Neven Vision yang pada ketika ini dalam peringkat pembangunan, termasuk produk iScout syarikat itu. Produk iScout membolehkan pemilik telefon kamera untuk mengambil gambar dan mencari maklumat bagi maklumat yang berkaitan kandungan di dalam foto itu.

Pengendali kafe internet mampu kembangkan operasi

PENGENDALI kafe Internet di negara ini berupaya mengembangkan operasi mereka tanpa membabitkan kos tinggi dalam pelesenan perisian melalui Program Manfaat Windows Tulen (WGA), Microsoft Malaysia (Microsoft). Di bawah program ini, pengendali kafe berkenaan akan mendapat manfaat dengan wujudnya Perjanjian Sewa Perisian Microsoft untuk kafe Internet selain mengendalikan perniagaan berlandaskan perisian tulen Microsoft.

Menurut perjanjian pelesenan Microsoft sebelum ini, hanya pelanggan yang membeli lesen perisian Microsoft saja boleh menggunakan perisian berkenaan dan ia tidak boleh digunakan oleh pihak ketiga. Pengurus Kumpulan (Windows Client) Microsoft Malaysia, KT Ng berkata, hasil maklum balas pelanggan kafe Internet, Microsoft bercadang untuk memba­ngunkan satu program khusus untuk memenuhi keperluan ini. Katanya, sebelum ini pengendali kafe berkenaan terpaksa melalui satu perjanjian, melakukan audit terhadap perisian yang digunakan selain menyediakan senarai sistem operasi (OS) Windows dan aplikasi Office dan mengembalikan perjanjian itu semula kepada Microsoft.

“Melalui program baru yang diperkenalkan ini, operator kafe Internet yang membeli OS desktop Windows Microsoft dan aplikasi Office Microsoft mendapat hak untuk menyewakannya semula ke pihak ketiga. “Perjanjian ini selama setahun dan mereka terbabit harus mengaudit semula perisian selain membaharui perjanjian,” katanya. WGA adalah sebahagian daripada komitmen Microsoft untuk melindungi pelanggan dan rakan niaga daripada perisian tiruan melalui pendidikan, kejuruteraan dan penguat kuasaan polisi serta perundangan.

Untuk perniagaan kecil seperti kafe Internet ini, WGA juga memberi keyakinan kepada mereka bahawa penggunaan perisian tulen menjadikan perisian lebih selamat dan ini penting dalam memenuhi keperluan pelanggan. Di samping itu, mereka juga mempunyai akses ke muat turun tambahan percuma untuk membantu menjadikan lebih produktif melalui aplikasi Microsoft ìSmall Business Centerî yang menyediakan sumber penting bagi operasi mereka.

Yahoo! dalam telefon baru Motorola

Syarikat media internet terbesar dunia, Yahoo! Inc (Yahoo!) akan bekerjasama dengan pengeluar kedua terbesar telefon selular dunia, Motorola Inc (Motorola) untuk memasukkan perkhidmatan Yahoo! ke dalam telefon Motorola. Perjanjian itu untuk telefon baru pertengahan dan berkeupayaan tinggi Motorola yang akan menggunakan perkhidmatan berintegrasi Yahoo! dikenali sebagai Yahoo! Go For Mobile. Ia merangkumi Yahoo! e-mel, carian dan buku alamat.

Bagaimanapun, model Motorola yang akan digunakan untuk perkhidmatan itu tidak dinyatakan. Perjanjian Yahoo! dengan Motorola adalah perjanjian kedua membabitkan pengeluar telefon bimbit yang menggunakan platform Yahoo! Go, satu sistem perisian yang diperkenalkan awal tahun ini untuk menjadikan perkhidmatan Yahoo! mudah digunakan pada telefon bimbit. Pada Januari lalu, Yahoo! mengumumkan perjanjian dengan pengeluar terbesar telefon bimbit dunia, Nokia untuk menggunakan Yahoo! Go pada telefon bimbitnya. Perjanjian Yahoo!-Nokia merangkumi beberapa telefon pertengahan dan pengguna tinggi dalam Nokia Siri 60 dan kelas N telefon multimedia.

Antara lima dan 10 model Nokia berkenaan sudah dijual di beberapa pasaran Eropah dan Asia.
Dalam perjanjian terbaru, Motorola akan muka menyediakan perkhidmatan Yahoo! Go For Mobile pada telefon bimbit yang dijual di seluruh dunia bermula separuh pertama 2007. Kerjasama antara syarikat Internet & pengeluar perkakasan berjanji untuk memberi kepada pengguna capaian pantas ke maklumat Internet berbanding kaedah penggunaan telefon biasa. Model telefon selular masa kini memerlukan pengguna untuk membuat beberapa klik dan menunggu seketika sebelum telefon itu dihubungkan ke Internet. Pesaing Yahoo!, Google juga sedang berusaha untuk menguasai kedudukan seperti itu pada perkhidmatan webnya melalui perjanjian dengan pembuat telefon bimbit dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi mudah alih.

Empat syarikat kerja sama hasil iPod kenderaan

3 syarikat automotif utama dunia, Mazda, General Motors & Ford Motor Company bekerjasama dengan Apple Computer bagi menghasilkan iPod yang mudah digunakan dalam kereta dan trak. Semua model kenderaan yang akan dikeluarkan anak syarikat Ford, Mazda Motors Corp pada tahun depan akan membolehkan penumpang menyambung iPod kepada radio kenderaan dengan lebih mudah. Pemain iPod yang bersesuaian juga akan ditawarkan dalam kebanyakan model kereta 2007 & trak Ford serta General Motors bagi jualan di Amerika Syarikat (AS) pada penghujung tahun ini. Kini lebih 70% model kenderaan AS bagi 2007 akan ditawarkan dengan kemudahan integrasi iPod, yang mana General Motors saja akan menyediakannya pada semua 56 modelnya, mewakili berjuta kereta dan trak. Tempat simpanan barang kecil di depan kereta diubah suai bagi membolehkan iPod dipasang kepada sistem audio kenderaan. Kawalan radio dalam kereta atau trak juga disesuaikan supaya dapat memilih dan memainkan lagu daripada iPod, dengan bateri akan dicas semasa pemanduan.

Intel perkenal 10 prosesor 290 juta transistor


INTEL Corporation (Intel), gergasi pengeluar cip komputer dunia memperkenalkan 10 prosesor Core 2 Duo dan Core 2 Extreme, dengan reka bentuk arkitektur terkini yang dapat menjimatkan penggunaan tenaga, walaupun memiliki 291 juta transistor di dalamnya. Cip prosesor Core 2 Duo adalah cip yang hanya menggunakan 40 peratus tenaga, tetapi pada masa sama tidak berkompromi dengan prestasi untuk dimanfaatkan bagi kegunaan aplikasi sekarang dan masa depan.

Pengarah Pengurusan Jenama Rumah Digital Intel, Charlotte Lamprecht, berkata cip prosesor Intel Core 2 Duo dihasilkan menggunakan teknologi proses silikon 65 nanometer yang mampu meningkatkan 40 peratus kecekapan prestasi dan pengurusan tenaga. Katanya, dengan teknologi arkitektur mikro milik Intel, teknologi Core 2 Duo membolehkan komputer melaksanakan pelbagai fungsi pada masa yang sama.

“Misalnya, komputer boleh melaksanakan berbilang tugasan serentak seperti menulis mel elektronik dan pada masa sama memindah turun muzik atau video atau mengimbas virus,” katanya di Kuala Lumpur, minggu lalu. Beliau berkata, cip ini juga dapat meningkatkan prestasi kerja seperti melihat dan bermain video atau melindungi komputer peribadi ketika urus niaga perdagangan elektronik serta meningkatkan jangka hayat bateri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...