07 September 2007

Cip RFID bantu tingkat kawalan keselamatan

Kerajaan sedang membangunkan sistem pemantauan pergerakan individu berasaskan teknologi cip Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) bagi meningkatkan kawalan keselamatan khususnya soal berkaitan rakyat asing di negara ini. Fasa pertama sistem pemantauan gelombang radio itu yang membabitkan perbelanjaan beratus juta ringgit sedang dilaksanakan Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara dengan beberapa syarikat vendor tempatan. Fasa seterusnya dijangka membabitkan integrasi sistem pemantauan kenderaan, iaitu penggunaan nombor plat pintar dengan cip RFID atau “e-plate” yang sedang dinilai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Sistem e-plate dijangka mampu menjadi alat yang berkesan dalam usaha penguatkuasaan peraturan lalu lintas, menangani pemalsuan nombor plat dan mencegah kecurian kenderaan. Sistem pemantauan itu boleh diintegrasikan dengan sistem televisyen litar tertutup yang dibangunkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membentuk pemantauan pergerakan bersepadu.


Menerusi sistem itu, pengesan atau pengimbas cip RFID yang diletakkan di kawasan strategik mampu merekodkan pergerakan pemegang kad atau kenderaan dengan plat berkenaan dan jika perlu kamera CCTV akan diaktifkan untuk membuat rakaman visual. Sistem pemantau seumpama itu sudah pun dilaksanakan di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah lain bagi meningkatkan kawalan keselamatan berikutan peristiwa serangan pengganas di New York pada 11 September 2001. Walaupun tiada pengumuman rasmi yang khusus berhubung rancangan itu, beberapa perkembangan sejak awal tahun ini menunjukkan sistem seumpama itu sedang giat dibangunkan kerajaan. Kabinet mahu satu sistem pemantauan diwujudkan bagi menangani masalah itu berikutan jangkaan peningkatan kemasukan rakyat asing. Katanya, peruntukan berjuta ringgit sudah disediakan untuk tujuan itu dan satu sistem pemantauan menggunakan teknologi masa kini akan dibangunkan bagi membolehkan pihak berkuasa mengetahui atau mengawasi pergerakan rakyat asing.

Semua warga asing pula dikehendaki mendapatkan sama ada Kad Pekerja Asing, Kad Pekerja Asing (syarikat penyumberan luar), Kad Pembantu Rumah, Kad Pelajar Asing, Kad Pegawai Dagang atau Kad Malaysia My 2nd Home, dengan cip RFID. Penggunaan kad itu telah dimulakan dengan kira-kira 40,000 pelajar asing sebelum diperluas secara berperingkat kepada kira-kira 1.8 juta warga asing adalah sebagai tindakan pemantauan bagi mengelakkan mereka “hilang” selepas memasuki negara. Umno juga telah memperkenalkan kad dengan cip RFID atau i-Kad. Ia bagi memastikan hanya perwakilan yang sah dapat memasuki dewan persidangan.

16 Ogos 2007

RFID

Info ringkas RFID

  • Identiti unik yang menggunakan gelombang radio.
  • Konsep menyerupai kod bar (barcode).
  • Menggunakan gelombang sedangkan kod bar menggunakan cahaya.
  • Terbahagi kepada dua iaitu RFID aktif (penggunaan bateri pada tranponder) dan pasif (tanpa bateri).
  • RFID mempunyai beberapa kelebihan berbanding kod bar iaitu data boleh dikemaskinikan bila-bila masa.
  • Selain itu RFID masih boleh berfungsi walaupun adanya halangan (untuk bacaan) tetapi sebaliknya bagi kod bar.

Kelebihan/keistimewaan

  • Terminal komputer boleh menerima maklumat kod dari transponder dari jarak 10 ~ 30 meter walaupun ada halangan bangunan atau batu konkrit.
  • Mudah digunakan di mana-mana tanpa terikat dengan wayar.
  • Penghantaran maklumat adalah secara masa-nyata.
  • Pembaca RFID tanpa wayar ini merupakan peranti yang mudah-alih maka ia sesuai digunakan bagi kawasan luar bangunan.
  • Pengguna hanya perlu membawa pembaca RFID tanpa wayar ini untuk membaca maklumat dari transponder tanpa perlu membawa terminal komputer bersama-sama di lokasi pembacaan.
  • Pengumpulan maklumat daripada transponder dapat dipercepatkan kerana liputan yang luas di antara pembaca RFID dan terminal komputer.
  • Kos pembinaannya yang sangat murah.

Makluman...

Sudah lama tidak kemaskini laman blog ini. Hampir setahun lamanya... Kali terakhir membuat 'posting' ialah pada 19 Ogos 2006. Terima kasih kepada yang sudi melayari blog ini dan memberi komen. Oleh kerana ada yang mahukan maklumat lanjut mengenai RFID, saya akan paparkan pada 'posting' seterusnya.

Teruskan membaca dan jangan lupa promosikan blog ini. Sekian, terima kasih. :)

19 Ogos 2006

Gelang RFID membantu rawatan pesakit di hospital

Jangkitan penyakit, kerahsiaan pesakit, kehilangan harta benda, penyelenggaraan bangunan hospital kini boleh dilakukan dengan mudah menggunakan teknologi terkini yang dibangunkan oleh Siemens. Syarikat yang terkenal dengan pembangunan cip telah membangunkan cip yang boleh digunakan dalam banyak bidang terutama dalam bidang perubatan. Masa kini, Siemens telah menjalankan penyelesaian menggunakan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) bagi kegunaan di hospital dan klinik-klinik di beberapa negara Eropah. RFID terdiri daripada tag yang mempunyai cip dan antena di sekelilingnya. Bagi membaca data di dalam tag, seseorang memerlukan ‘pembaca’ dengan medan elektromagnet untuk membaca dan memindahkan data.

Kini RFID telah mula digunakan dalam bidang perubatan bagi menyimpan maklumat pesakit. Siemens telah dilengkapi dengan teknologi 'know-how' dalam industri penjagaan kesihatan sejak 1877. Dengan penglibatan dalam pembuatan electro-medical dan peralatan fizikal lain, Siemens yang mempunyai pengalaman selama 128 tahun sentiasa berusaha menyediakan peralatan bagi penjagaan kesihatan pada masa depan. Kini dengan meningkatnya permintaan bagi perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti dan penyelesaian bagi pemprosesan klinikal, diagnostik dan prosedur terapeutik menggunakan penyelesaian IT. Banyak masalah di hospital boleh diselesaikan menggunakan teknologi RFID. Pada permulaan RFID digunakan untuk menyimpan maklumat pesakit seperti nama, umur, jantina, berat, penyakit yang dialami, alahan, sejarah, X-ray serta maklumat perubatan yang berkaitan.

Merawat

Biasanya RFID dipasangkan dalam bentuk gelang tangan pada pesakit dan doktor yang merawat boleh memuat turun (download) atau memuat naik (upload) data di dalamnya dari masa ke semasa. Misalnya doktor boleh mengubah berat badan atau senarai ubatan yang diberikan mengikut keperluan pesakit. Semua ini tidak boleh dilakukan jika menggunakan kaedah kod bar kerana data tidak boleh diubah selepas dimasukkan.

Ini membolehkan data pesakit dikemaskini pada waktu sebenar (real-time) secara atas talian bagi hospital yang menggunakan teknologi tanpa wayar (wireless). RFID juga boleh digunakan bagi mengesan pelbagai peralatan penting dan diperlukan semasa kecemasan. Bagi mengesan pergerakan, tag jenis aktif yang menggunakan bateri dan boleh mengesan pergerakan dalam jarak 300 meter. RFID boleh digunakan bagi mengelakkan kecurian peralatan berharga atau mempunyai maklumat pesakit. Kadang-kala terdapat dokumen perubatan yang sensitif dan hanya boleh dibuka oleh pihak tertentu di sesebuah hospital. Justeru RFID boleh digunakan dengan meletakkan tag di dokumen berkenaan supaya mudah dicari dan maklumat mereka yang melihatnya direkodkan. Di hospital, ubatan merupakan sesuatu yang penting kerana ia diberikan kepada pesakit. Tag RFID yang digunakan boleh mengesan keluar masuk ubat di dalam stor farmasi, mengenalpasti ubat tiruan, jangka hayat ubat dan mengelakkan daripada kecurian. Ini kerana hanya mereka yang mempunyai kata laluan saja yang boleh mendapat akses ke dalam stor berkenaan. Selain itu, RFID juga boleh digunakan di bank darah bagi mengenalpasti keluar masuk darah serta maklumat mengenai darah yang ada di sana. Maklumat berkenaan penting bagi menentukan darah yang telah dijangkiti tidak digunakan bagi pemindahan darah.

Bagi tujuan keselamatan RFID digunakan sebagai akses semasa berada di dalam kawasan hospital. Ini penting bagi menentukan hanya mereka yang diberi kebenaran saja boleh memasuki sesuatu kawasan. Kaedah ini penting bagi mengelakkan pencerobohan dan kes penculikan bayi di kawasan hospital. Beberapa hospital dan klinik di AS & Jerman telah menggunakan RFID.

as-Salihin hasilkan perisian faraid


KEMAJUAN dalam dunia digital turut memberi sumbangan besar kepada umat Islam, terutama membantu memudahkan pelbagai urusan yang membabitkan kepentingan Islam. Berdasarkan kemajuan itu, as-Salihin Trustee Bhd (as-Salihin) berjaya menghasilkan perisian khusus untuk kemudahan dalam pembahagian harta Faraid.

Ketua Eksekutifnya, Abdul Aziz Peru Mohamed, berkata produk itu dianggap pertama seumpamanya dihasilkan di negara ini dibangunkan dalam usaha memudahkan pelanggan as-Salihin mengetahui bahagian agihan harta di kalangan ahli keluarga. Katanya, perisian berkenaan, FaST Guide yang dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman syarikat, dijangka berada di pasaran menjelang September atau Oktober ini dengan harganya RM200 untuk orang awam dan RM100 bagi ahli as-Salihin. Beliau berkata, sebelum ini kaedah pembahagian agihan harta Faraid agak rumit dengan membabitkan beberapa kaedah tertentu yang sudah pasti akan melambatkan proses tertentu.

“Melalui sistem ini, berapa jumlah agihan yang perlu dilakukan dapat diperoleh dalam masa singkat,” katanya ketika memperkenalkan perisian itu di Kuala Lumpur, kelmarin. FaST Guide yang bermaksud panduan pemegang amanah Faraid as-Salihin, panduan rujukan pantas yang membantu menentukan agihan secara Faraid harta peninggalan seseorang yang sudah meninggal dunia berpandukan kaedah “pokok keluarga”. Panduannya yang dihasilkan melalui penggunaan grafik pokok yang membahagikan bahagian tertentu seperti suami, isteri dan anak lelaki serta perempuan. Pengguna dengan mudah mendapat jawapannya apabila mengklikkan jumlah suami atau isteri dan anak-anak. Jawapan diberikan tepat dan profesional.

Produk ini sudah selesai prototaipnya dan kini dalam peringkat dikemaskini sebelum dipasarkan pada bulan depan atau Oktober ini. As-Salihin adalah syarikat amanah yang dibentuk di bawah Akta Syarikat 1965 dan didaftarkan di bawah Akta Syarikat Amanah 1949, bagi memenuhi keperluan umat Islam untuk memelihara, melindungi dan mengagihkan harta secara profesional selepas mereka mati nanti. Ia mempunyai modal dibenar RM5 juta dan modal berbayar RM900,000.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...