
Inisiatif ini diteruskan dengan penyediaan Klang Valley Broadband Push (KVBP) yang bertujuan meningkatkan taraf Lembah Klang kepada kawasan Koridor Raya Multimedia (MSC) melalui pelaksanaan prasarana jalur lebar & peningkatan langganan perkhidmatan jalur lebar. Selangor*Net Broadband adalah antara usaha kerajaan untuk menghubungkan rangkaian & melengkapkan prasarana kemudahan infrastruktur jalur lebar. Ia mensasarkan untuk menghubungkan kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) & 9 Pejabat Tanah Daerah (PTD). Pada tahun 2008, Selangor*Net Broadband akan diperluaskan ke semua peringkat agensi kerajaan di Selangor.
Kerajaan negeri bercadang memperluas sistem aplikasi pangkalan data berpusat supaya proses pentadbiran kerajaan lebih cekap, cepat & efisien. Selain itu, kaedah Penyampaian Perkhidmatan ICT akan ditingkatkan melalui sidang video sedia ada kepada sistem yang lebih praktikal. Pelbagai saluran perkhidmatan & penyediaan portal pertanyaan dan maklumat kerajaan negeri ditingkatkan. Pengurusan aduan dapat dilaksanakan dengan cekap melalui Portal Sistem Talian Aduan Rakyat Selangor (Stars) yang menerima pelbagai jenis maklum balas rakyat di Selangor. Kerajaan negeri juga dalam proses penambahbaikan daripada penyediaan borang permohonan yang boleh dimuat turun dari 12 perkhidmatan Gerbang Mesra Selangor kepada pengisian secara online dan disimpan & diproses dengan cepat.