12 Januari 2013

Kenapa cache perlu kosong?


Setiap kali selepas keluar atau log out daripada laman web perbankan internet, sering kali ada arahan untuk meminta kita mengosongkan cache. Apa itu cache dan kenapa perlu mengosongkannya?

Cache adalah merupakan tempat simpanan sementara untuk menyimpan sesuatu maklumat atau data yang sedang diproses atau digunakan dalam sesebuah komputer. Ia akan berada dalam bahagian tertentu pada cakera keras sesebuah komputer. Bagi setiap pelayar web atau browser seperti Internet Explorer atau Mozilla Firefox dan sebagainya, segala maklumat web yang dilayari akan di simpan sementara dalam cache bagi setiap pelayar web tersebut. Ini termasuk login dan kata laluan yang kita gunakan untuk memasuki sesebuah laman web seperti perbankan Internet, laman web sosial dan sebagainya.

Disarankan setiap kali sesudah kita memasuki sesebuah laman web terutama yang mempunyai transaksi kewangan, maklumat peribadi atau lain-lain, dikosongkan terlebih dahulu ruangan cache pelayar web bagi komputer yang digunakan. Ini kerana sesiapa sahaja yang boleh mencapai komputer tersebut dan seterusnya pergi ke ruangan cache akan boleh memperolehi segala maklumat dan data yang terdapat di dalamnya.

Namun begitu, sekiranya ia adalah komputer kepunyaan sendiri, bagaimana?

Ya. Ia tiada masalah tetapi bagaimana sekiranya komputer tersebut jatuh ke tangan orang lain atau dipinjam untuk kegunaan orang lain? Sudah tentu ia berisiko apatah lagi sekiranya komputer tersebut bukan milik kita seperti komputer yang terdapat di makmal-makmal pusat pengajian atau kedai-kedai akses Internet. Lagi satu masalah adalah sekiranya komputer kita sering menggunakan capaian Internet tanpa wayar seperti Wi-fi dan sebagainya, ia memudahkan komputer tersebut terdedah kepada aktiviti pencerobohan atau penggodaman. Sudah tentu sekiranya ia dicerobohi, maklumat dan data dalam cache tadi mudah diperolehi. Bagi keselamatan maklumat dan data, perlu kita menghapuskan data atau maklumat yang terdapat di dalam cache pada pelayar web yang digunakan.

Seterusnya adalah kaedah untuk menghapuskan data yang terdapat dalam cache bagi pelayar web Internet Explorer dan Mozilla Firefox. Bagi Internet Explorer, ruangan cache ini dikenali sebagai Temporary Internet Files. Sila ikut langkah-langkah yang di bawah:-

*Klik 'Tools'

*Pilih 'Internet Options'

*Klik 'General'

*Pada ruangan 'Browsing History', klik 'Delete'

*Pilih 'Temporary Internet Files' dan klik 'Delete'

*Klik 'OK'

*Klik 'OK' sekali lagi untuk menutup Internet Options.

Bagi Mozilla Firefox sila ikut langkah-langkah yang di bawah:-

*Klik 'Tools'

*Pilih 'Options'

*Pilih 'Advanced' dan klik 'Network'

*Pada ruangan Offline Storage , klik Clear Now.

*Klik 'OK'

Bagi pelayar web Mozilla Firefox, ia boleh dikonfigur secara automatik dengan mengosongkan ruangan cache apabila program Mozilla ditutup. Iaitu dengan cara seperti yang berikut:-

*Klik 'Tools'

*Pilih 'Options' , pilih 'Privacy'

*Pada ruangan 'History', setkan bahagian 'Firefox will:' kepada Use custom settings for history.

*Klik kotak semakan untuk Clear history when Firefox closes.

*Klik pada Settings, akan dipapar satu tetingkap Settings for Clearing History.

*Klik pada kotak semakan untuk ruangan 'Cache'.

*Klik 'OK' dan klik sekali lagi 'OK'

Itulah maklumat dan panduan berkenaan dengan cache yang ada dalam pelayar web yang digunakan. Cara untuk menghilangkan data pada cache ini tidak sama bagi kesemua jenis pelayar web. Di sini, diberikan panduan untuk menghilangkan data cache yang ada pada pelayar web Internet Explorer dan Mozilla Firefox sahaja. Sekiranya ada permintaan untuk pelayar-pelayar web yang lain, sila komen di bawah. Semoga semuanya memberi manfaat kepada semua.

- UMO

Rakyat Malaysia di sebalik kejayaan iPhone4


Ketika ramai bercerita dan kagum dengan kecanggihan telefon bimbit pintar generasi keempat, iPhone4, rakyat Malaysia boleh berbangga di sebalik kejayaan itu kerana salah seorang pereka ciptanya adalah anak tempatan.

Salah seorang yang terlibat dalam merealisasikan gajet terbaru itu ialah Timothy Seng Yen Lim, 24, rakyat Malaysia yang diberi kepercayaan oleh syarikat Apple untuk menghasilkan iPhone4.

"Semasa bekerja dengan Apple pada 2008, saya bertanggungjawab untuk merangka model terbaru iPhone itu bagi memastikan ia lebih baik daripada gajet sebelumnya.

"Bekerja di Apple merupakan impian saya sejak dahulu lagi dan apa yang dipelajari di Universiti Stanford telah saya aplikasikan dalam proses rekaan gajet tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini

Timothy yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Biomekanikal dan Pengurusan Sains dan Kejuruteraan daripada Universiti Stanford.

Beliau sebelum itu pernah muncul sebagai pelajar Asia pertama yang mendapat 16A1 dalam peperiksaan A Level yang melayakkannya ditawarkan ke Universiti Stanford.

Selain bijak dalam akademik, Timothy juga aktif berpesatuan dan pernah dilantik sebagai Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di universitinya.

Timothy berkata, beliau merancang untuk berkhidmat di negara ini setelah cukup menimba pengalaman dan kemahiran di luar negara.

Beliau kini berkhidmat sebagai Penganalisis Sistem Perniagaan untuk syarikat Internet terkenal, Yahoo! Inc. di AS bagi merumus semula organisasi tersebut menjadi syarikat berita dan komunikasi tersohor dunia.

- UMO

11 Januari 2013

Perisian: Adobe Reader XI

Adobe® Reader® adalah aplikasi standard paling popular dan percuma (FREE) untuk membuka/mencetak dokumen yang menggunakan format PDF sejak sekian lama. Versi terkini (setakat Januari 2013) adalah versi 11.0.0.1. Terdapat juga Adobe Reader XI Standard dan Adobe Reader XI Pro iaitu versi berbayar dan mempunyai lebih fungsi seperti menyunting dokumen PDF dan lain-lain.

Perisian ini boleh digunakan pada pelbagai sistem operasi (OS):-

  • Microsoft Windows
  • Mac OS
  • Linux
  • iOS
  • Android

Adobe Reader mampu membuka fail dan berinteraksi dengan semua jenis kandungan PDF, termasuk borang dan multimedia. Berikut adalah keperluan sistem untuk memasang (install) versi 11 ini:

Windows

  • Pemproses 1.3GHz atau lebih laju
  • Microsoft® Windows® XP dengan Service Pack 3 (32 bit) atau Service Pack 2 (64 bit); 
  • Windows Server® 2003 R2; Windows Server 2008; Windows 7; Windows 8
  • 256MB RAM (512MB dicadangkan)
  • 320MB ruang kosong cakera keras
  • Resolusi skrin 1024x768
  • Internet Explorer 7, 8, 9, or 10; Firefox; Chrome


Keperluan sistem untuk sistem operasi lain, sila rujuk Release Notes di laman web Adobe. 

Muat turun versi terkini di pautan berikut:

Filehippo (alternatif)



30 Oktober 2012

Elak Phishing di Internet


Sebelum bertolak ke kampung di Malaysia Timur, Kamal membuka kotak e-melnya bagi menyemak kiriman terkini yang mungkin memerlukan tindakan pantas.

Jika sudah sampai ke kampung yang tiada kemudahan Internet, memang tidak berpeluanglah dia hendak menyemak dan mengemas kini apa yang patut.

E-mel daripada sebuah bank tempatan yang digunakan majikannya untuk membayar gaji menarik perhatiannya.

Di kotak e-mel tertera Maybank dengan tajuk '1 urgent message'.

Kamal terus klik ke kotak berkenaan, dia bimbang jika akaun banknya digantung sedangkan dia memerlukan wang ketika itu.

Di dalamnya tertulis; Pelanggan yang budiman, anda dikehendaki mengemas kini maklumat akaun bank anda dan TAC diperlukan.

Tanpa rasa curiga dan enggan masalah timbul apabila dia berurusan dengan bank, Kamal terus klik dan mengisi segala maklumat diperlukan serta memberikan nombor TAC seperti diminta.

Dua hari selepas itu semasa dia ke bank untuk mengeluarkan wang, Kamal hampir terduduk apabila mendapati akaunnya hanya berbaki RM3.

Penganalisis MyCert, CyberSecurity Malaysia, Adnan Mohd. Shukor berkata, kisah mengumpan atau phishing bagi mendapatkan maklumat peribadi pemegang akaun bank kini berleluasa bukan saja di negara ini malah di seluruh dunia.

Justeru tegasnya, dua perkara penting yang patut dilindungi oleh pemegang akaun adalah nama pengguna dan kata laluan.

Penjenayah akan sentiasa berusaha mendapatkan nama pengguna serta kata laluan bagi menceroboh dan mencuri wang pengguna.

Biasanya mereka boleh mendapatkannya dengan meletakkan sesuatu perisian mengintip atau paling biasa menghantar e-mel mengatakan akaun pengguna perlu dikemas kini.

"Jika pengguna tidak peka dan membuka pautan berkenaan, mereka akan terperangkap di dalamnya.

"Mereka hanya akan sedar apabila akaun mereka tiba-tiba susut atau tinggal jumlah minimum yang diperlukan bank," katanya.

Biasanya laman web palsu ini dibina seakan-akan atau mirip dengan laman bank tempatan bagi memudahkan penipuan.

"Jika mangsa tidak peka dengan URL atau alamat bank mereka mungkin akan tertipu dengan mudah," katanya.

Penipuan menggunakan TAC hanya berlaku jika mangsa dan penjenayah berada di dalam talian pada masa yang sama.

"Penjenayah akan menggunakan nombor TAC yang dimasukkan oleh pengguna di dalam laman web palsu tanpa disedari pengguna," katanya.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, hampir semua bank telah mengambil beberapa langkah keselamatan seperti mengehadkan masa tag digunakan.

Biasanya pihak berkuasa hanya akan bertindak apabila pengguna melaporkan mengenai laman web bank palsu.

"Perkara ini akan memakan masa yang lama kerana pihak kami perlu menunggu masa untuk menerima laporan," katanya.

Selepas menerima laporan barulah alamat URL berkenaan disenarai hitam.

Justeru pihak MyCert, CyberSecurity membangunkan perisian plug-in yang dikenali sebagai Don't Phish Me bagi membantu pengguna perbankan dalam talian.

Adnan berkata, perisian yang direka berdasarkan pemadanan laman web perbankan amat mudah digunakan.

"Caranya amat mudah sama seperti memuat turun perisian lain menggunakan URL bagi Google Chrome: https://chrome.google.com/webstore/detail/ekhmajimailppllbglbkopdjfenocpnl dan Mozilla Firefox: https://addons.mozilla.org/firefox/addon/dontphishme/," katanya.

Adnan berkata, apabila pengguna menerima laman web perbankan yang mencurigakan dan masih belum dilaporkan, perisian Don't Phish Me akan mengeluarkan amaran di skrin.

Pengguna secara automatik akan diberi amaran manakala pihak Cybersecurity akan menerima laporan secara dalam talian dalam masa yang sama.

Jika pengguna memilih untuk tidak meneruskan pautan berkenaan, satu laman web mengenai Phishing akan terpapar di skrin.

Tetapi jika pengguna masih mahu membuka pautan tadi, amaran akan diberikan bahawa pengguna perlu menanggung risiko sendiri.

Bagaimanapun jika pengguna teruskan hajat tadi, mereka tidak boleh memasukkan nama pengguna kerana laman berkenaan telah disekat.

"Ini memudahkan bukan saja di pihak pengguna tetapi juga CyberSecurity tanpa perlu menunggu laporan pengguna," katanya.

Bercerita mengenai perisian Don't Phish Me, Adnan berkata, semua bank yang beroperasi di negara ini dilindungi oleh Don't Phish Me.

Senarai bank yang dilindungi oleh Don't Phish Me:

Maybank2u
Cimbclicks
Public Bank
Bank Rakyat
Bank Islam
HSBC
EON Bank
UOB
AMBank
OCBC
RHB
Citibank
Standard Chartered Bank
Al Rajhi Bank
Affin Bank
Hong Leong Bank
Alliance Bank
Adnan menambah, pengguna perbankan dalam talian perlu dididik mengenai keselamatan siber supaya mereka berhati-hati apabila berurusan.

"Apa yang paling penting jangan dedahkan nama pengguna dan kata laluan kepada sesiapa saja dan satu lagi jangan buka laman web bank melalui pautan terutama di e-mel," katanya.

27 Oktober 2012

Kemas Kini Blog Melalui Telefon Pintar


BAGI seorang blogger, idea sememangnya sangat penting untuk mendapatkan bahan yang menarik untuk ditulis dalam blog.

Jangan benarkan idea yang menarik itu terlepas begitu sahaja tanpa dikongsi bersama pembaca dan pengikut setia di blog kamu.

Aplikasi yang ditampilkan oleh .com minggu ini mungkin dapat membantu kamu dalam menyelesaikan masalah itu agar kamu dapat mengemas kini blog di mana sahaja.

Cukup dengan hanya menggunakan telefon, kamu boleh mengemas kini blog melalui perisian Blogger oleh Google Inc. yang terdapat di dalam telefon pintar Android dan juga iPhone.

Caranya sangat mudah, setelah memuat turun aplikasi melalui Play Store (Android) atau App Store (iPhone) kamu kini boleh mengemas kini blog di mana sahaja kamu berada.

Paparannya sangat ringkas dan mudah digunakan ditambah pula jika kamu mempunyai banyak blog dalam satu akaun kamu boleh memilih untuk mengemas kini blog yang kamu suka.

Jika kamu belum lagi mahu menyiarkan entri tersebut, kamu boleh menyimpan idea yang sudah kamu tulis dalam draf.

Jadi apa tunggu lagi blogger di luar sana, bolehlah mencuba aplikasi ini bagi memastikan semua idea dan catatan blog kamu sentiasa dikemas kini walaupun ketika dalam perjalanan jauh.

Selamat mencuba.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...