27 Disember 2007

Selangor budayakan ICT dalam urusan pentadbiran

Selangor sentiasa memandang ke hadapan untuk membangunkan masyarakat yang berbudayakan teknologi maklumat & komunikasi (ICT), inovatif, kreatif dan berteraskan pengetahuan tinggi di samping memperkukuhkan keupayaan daya saing. Kerajaan negeri terus mengorak langkah dengan membiasakan komunitinya dalam gaya hidup digital dengan pelbagai inisiatif, antaranya Pusat Komuniti IT (PKIT), Gerak IT (K-Trak) & menambah baik sistem penyampaian secara elektronik menerusi Aplikasi Kerajaan Elektronik serta pelbagai kemudahan menerusi Internet.

Inisiatif ini diteruskan dengan penyediaan Klang Valley Broadband Push (KVBP) yang bertujuan meningkatkan taraf Lembah Klang kepada kawasan Koridor Raya Multimedia (MSC) melalui pelaksanaan prasarana jalur lebar & peningkatan langganan perkhidmatan jalur lebar. Selangor*Net Broadband adalah antara usaha kerajaan untuk menghubungkan rangkaian & melengkapkan prasarana kemudahan infrastruktur jalur lebar. Ia mensasarkan untuk menghubungkan kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) & 9 Pejabat Tanah Daerah (PTD). Pada tahun 2008, Selangor*Net Broadband akan diperluaskan ke semua peringkat agensi kerajaan di Selangor.

Kerajaan negeri bercadang memperluas sistem aplikasi pangkalan data berpusat supaya proses pentadbiran kerajaan lebih cekap, cepat & efisien. Selain itu, kaedah Penyampaian Perkhidmatan ICT akan ditingkatkan melalui sidang video sedia ada kepada sistem yang lebih praktikal. Pelbagai saluran perkhidmatan & penyediaan portal pertanyaan dan maklumat kerajaan negeri ditingkatkan. Pengurusan aduan dapat dilaksanakan dengan cekap melalui Portal Sistem Talian Aduan Rakyat Selangor (Stars) yang menerima pelbagai jenis maklum balas rakyat di Selangor. Kerajaan negeri juga dalam proses penambahbaikan daripada penyediaan borang permohonan yang boleh dimuat turun dari 12 perkhidmatan Gerbang Mesra Selangor kepada pengisian secara online dan disimpan & diproses dengan cepat.

26 Disember 2007

DBKL guna teknologi RFID pantau iklan luar

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menggunakan teknologi pengenalan frekuensi radio (RFID) bagi mengurus paparan iklan luar sekitar ibu negara. Menerusi teknologi itu akan membolehkan DBKL memantau & menguatkuasakan undang-undang ke atas pemasangan iklan luar dengan pantas & cepat terutamanya dalam mencegah pemasangan iklan haram. Sejak Julai lalu, sebanyak 601 daripada 1,486 unit paparan iklan yang berlesen di seluruh ibu negara telah dipasang mikrocip khas itu.

Pemasangan mikrocip khas itu dijangka dipasang pada semua papan tanda berdaftar awal tahun depan. Mikrocip itu mengandungi 23 jenis data yang boleh dimuat turun ke dalam sebuah alat yang akan mengesan & membaca maklumat pada mikrocip tersebut. Antara data-data yang akan dipaparkan adalah imej iklan, tarikh lesen dikeluarkan, tarikh luput lesen, pemegang lesen, lokasi, & juga status pembayaran. Ia akan memudahkan tugas pemantauan & penguatkuasaan dijalankan apabila maklumat status paparan iklan secara terperinci boleh diperolehi dengan serta-merta.

Sistem ini mewujudkan satu pangkalan data berpusat yang khusus bagi penyelarasan maklumat & mengelakkan masalah kehilangan data atau fail. Ia juga membantu DBKL melangkau daripada pengurusan paparan iklan data analog kepada data digital & mewujudkan budaya kerja tanpa kertas, pengemaskinian data secara sistematik & tepat. DBKL ketika ini mengalami kerugian sebanyak RM1.2 juta setiap tahun akibat daripada pemasangan struktur paparan iklan luar tanpa kelulusan. Diharapkan penerapan sistem digital ini dapat mengatasi masalah yang ditimbulkan syarikat tidak bertanggungjawab.

17 Disember 2007

UIAM juara pengaturcaraan al-Khawarizmi

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul juara setelah mengetepikan 11 pasukan lain pada Pertandingan Pengaturcaraan al-Khawarizmi ACM-ICPC Malaysia 2007. Pasukan universiti itu menerima hadiah wang tunai RM3,000 serta hadiah iringan disampaikan Rektor UIAM, Prof Datuk Dr. Syed Arabi Idid pada majlis penyampaian hadiah pertandingan itu. Tempat ke-2 & ke-3 , dimenangi oleh Universiti Multimedia. Antara pasukan lain mengambil bahagian ialah Universiti Teknologi MARA, Universiti Petronas, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Darul Iman, & Universtiti Teknikal Melaka.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, pengangguran di kalangan graduan teknologi maklumat & komunikasi (ICT) dapat dibendung jika mereka mempunyai kepakaran dalam bidang pengaturcaraan. Graduan terbabit juga perlu menguasai kemahiran komunikasi & pengurusan serta mempunyai sahsiah terpuji kerana ia memudahkan mereka mendapat kerja. Pertandingan yang diadakan ini baik kerana ia dapat dijadikan landasan untuk mengetengahkan kepakaran pelbagai peringkat pelajar termasuk antarabangsa. Selain itu, ia mendidik pelajar sesbuah kolej & universiti memiliki kepakaran hebat, berfikiran kreatif & berkemahiran bagi menghadapi masa depan yang mencabar.

Berdasarkan maklum balas Pengarah Eksekutif Persatuan Perkakasan Komputer (ACM) & Pertandingan Pengaturcaraan Antarabagsa (ICPC), Prof. James Corner, Mustapa berkata, graduan ditawarkan pekerjaan selepas diperkenalkan syarikat ICT.

12 Disember 2007

Penduduk desa guna ICT meningkat

Kajian Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri mendapati bilangan penduduk luar bandar terutama petani yang menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) semakin meningkat. Ia menunjukkan usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan ICT di luar bandar mendapat sambutan & membuahkan hasil. Peningkatan itu diharap dapat membantu usaha kerajaan mengurangkan jurang digital di antara penduduk bandar dengan luar bandar. Kajian yang dijalankan menunjukkan petani paling ramai menggunakan kemudahan ICT untuk mengakses portal yang disediakan kerajaan bagi mendapatkan maklumat & perkhidmatan.

Terbaru pelancaran Program Promosi Portal I Cerve U yang dirasmikan di Butterworth, Pulau Pinang. Portal I Cerve U menyediakan 16 jenis perkhidmatan merangkumi pembayaran & perbankan, perkhidmatan, latihan pekerjaan & kerjaya, pengangkutan serta perhubungan. Orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan itu termasuk melalui Medan Infodesa, Pusat Internet Desa atau komputer peribadi. Kemudahan ICT dapat mewujudkan persekitaran yang bukan saja penting untuk pentadbiran daerah atau kawasan, tetapi juga memenuhi strategi kerajaan untuk membawa kemudahan perkhidmatan digital ke luar bandar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...