26 Disember 2007

DBKL guna teknologi RFID pantau iklan luar

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menggunakan teknologi pengenalan frekuensi radio (RFID) bagi mengurus paparan iklan luar sekitar ibu negara. Menerusi teknologi itu akan membolehkan DBKL memantau & menguatkuasakan undang-undang ke atas pemasangan iklan luar dengan pantas & cepat terutamanya dalam mencegah pemasangan iklan haram. Sejak Julai lalu, sebanyak 601 daripada 1,486 unit paparan iklan yang berlesen di seluruh ibu negara telah dipasang mikrocip khas itu.

Pemasangan mikrocip khas itu dijangka dipasang pada semua papan tanda berdaftar awal tahun depan. Mikrocip itu mengandungi 23 jenis data yang boleh dimuat turun ke dalam sebuah alat yang akan mengesan & membaca maklumat pada mikrocip tersebut. Antara data-data yang akan dipaparkan adalah imej iklan, tarikh lesen dikeluarkan, tarikh luput lesen, pemegang lesen, lokasi, & juga status pembayaran. Ia akan memudahkan tugas pemantauan & penguatkuasaan dijalankan apabila maklumat status paparan iklan secara terperinci boleh diperolehi dengan serta-merta.

Sistem ini mewujudkan satu pangkalan data berpusat yang khusus bagi penyelarasan maklumat & mengelakkan masalah kehilangan data atau fail. Ia juga membantu DBKL melangkau daripada pengurusan paparan iklan data analog kepada data digital & mewujudkan budaya kerja tanpa kertas, pengemaskinian data secara sistematik & tepat. DBKL ketika ini mengalami kerugian sebanyak RM1.2 juta setiap tahun akibat daripada pemasangan struktur paparan iklan luar tanpa kelulusan. Diharapkan penerapan sistem digital ini dapat mengatasi masalah yang ditimbulkan syarikat tidak bertanggungjawab.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...