10 Julai 2009

Revolusi Windows Mobile

Perkembangan pantas teknologi menyaksikan peranti mudah alih seperti telefon bimbit berfungsi seperti komputer peribadi. Ini dimungkinkan sistem operasi Windows Mobile. Pepatah Melayu bagai isi dengan kuku membawa makna hubungan akrab 2 insan. Ia mungkin juga boleh diguna pakai kepada keperluan sistem operasi dan telefon bimbit secara metafora. Kini, ia diterjemahkan dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memandangkan sistem operasi dan telefon bimbit sukar dipisahkan.

Berbeza dengan rekaan telefon bimbit di awal kemunculannya, peranti terkini memerlukan sistem operasi yang bersepadu bagi memberikan kesegaran dalam pembuatan produk seterusnya mampu disesuaikan mengikut corak kehidupan manusia. Apatah lagi kepesatan maklumat tidak boleh tertumpu ke arah kemajuan komputer peribadi (PC) semata-mata. Selain Nokia dengan produk berplatform 'Symbian'nya, Microsoft juga tidak mahu ketinggalan.

Manusia bekerja menggunakan PC sejak sekian lama serta mendapat manfaat melalui aplikasi yang direka berdasarkan sistem operasi sedia ada, tetapi penggunaan PC terhad di satu tempat menyebabkan telefon bimbit menjadi alternatif dalam meneruskan manfaatnya secara mudah alih. Kalau diperhatikan sejarah pembinaan arkiteknya, Microsoft memiliki fungsi menyamai sistem komputer yang memudahkan kerja manusia dijalankan dengan licin memandangkan fungsi sama ditawarkan melalui PC biasa di rumah atau pejabat.

Kemunculan Windows Mobile sebagai pelengkap yang tidak memutuskan penggunaan perkomputeran sebaik manusia 'shut down' PC masing-masing, tetapi ia meneruskan kesinambungan dengan kitaran manusia sehinggakan sebenarnya kita tidak pernah lari dari nama Microsoft melalui 'Windows'nya. Mungkin ia strategi untuk menguasai pemikiran masyarakat yang perlu menyedari Microsoft berada di mana-mana melalui PC atau telefon bimbit.

Windows Mobile adalah sistem operasi kompak yang menggabungkan aplikasi asas untuk perkakasan mudah alih seperti telefon bimbit (ada yang menggelarnya sebagai telefon pintar) berdasarkan sistem Microsoft Win32 API. Perkakasan yang menggunakan Windows Mobile termasuk PC poket atau telefon bimbit pintar, tetapi fungsinya menyamai versi Windows konvensional seperti didapati di desktop pengguna. Windows Mobile diperbaharui dari tahun ke tahun bagi memenuhi keperluan masyarakat dengan beberapa aplikasi baru diperkenalkan setiap kali versi terkini dilancarkan mengikut kesesuaian.

Poket PC adalah titik permulaan untuk platform Windows Mobile bertapak dalam dunia mobiliti apabila peranti ini membenarkannya berfungsi sebagai peranti untuk melayari Internet namun sayangnya ia tidak memiliki kemudahan suara yang bermakna penggunaannya tertumpu hanya bagi aplikasi Internet. Penggunaan telefon pintar menjadi perkakasan seterusnya yang menerajui dunia mudah alih apabila Pocket PC 2002 diperkenalkan dalam usaha memperluaskan versi Pocket PC 2000 sebelum itu.

Pocket PC 2000 atau nama kodnya Rapier dilancarkan pada April 2002 berdasarkan sistem operasi Windows CE 3.0 yang kemudian dipadankan bagi penggunaan Windows Mobile memulakan kejayaan mengecilkan sistem operasi komputer ke saiz lebih kecil seperti telefon bimbit. Ketika itu, masyarakat dapat melihat beberapa telefon bimbit berasaskan sistem operasi terbabit dilancarkan yang menyokong resolusi minimum iaitu 240 x 320 (QVGA). Kemudian, datang pula Merlin iaitu nama kod bagi Pocket PC 2002 diperkenalkan setahun selepas versi 2000 dilancarkan yang dimuatkan dalam telefon pintar buat pertama kalinya dan memenuhi keperluan PC ketika itu apabila Windows XP turut diketengahkan.

Beberapa perubahan ditampilkan pada sistem operasi berikutnya yang turut mendapati jenama Pocket PC bertukar ke Windows Mobile 2003 dilancarkan pada Jun 2003 dengan empat edisi merangkumi Windows Mobile 2003 untuk PC Poket Premium, PC Poket Edisi Profesional, Edisi Telefon Pintar dan Edisi Telefon Bimbit menyaksikan model HP iPAQ rz1700 adalah 'graduan awal' dalam pembikinannya. Pada 2004, Microsoft tampil dengan Windows Mobile 2003 SE yang ditawarkan buat pertama kali melalui model Dell Axim x30 menyediakan beberapa ciri baru dimuatkan bersama sistem operasi terbabit. Revolusi Windows Mobile terserlah pada 2005 apabila versi Windows Mobile 5 mengagumkan segenap lapisan masyarakat apabila langkah drastik diambil memperkemaskan banyak ciri baru yang menggunakan kerangka .NET Compact Framework 1.0, malah ia tidak mengharapkan storan berdasarkan RAM semata-mata dengan menambah kombinasi baru menggunakan memori 'flash'.

Windows Mobile 6.0 yang dihasilkan Februari 2007 ketika Kongres Dunia 3GSM berlangsung sering dikaitkan dengan kesepaduan penggunaan Windows Live serta Exchange 2007. Walaupun Windows 6.0 masih dalam pemerhatian ramai, ia tidak menghalang Microsoft untuk mencipta versi 6.1 yang menambah sedikit ciri jika dibandingkan dengan versi 6.0. Namun begitu, terdapat pemikiran yang menyatakan Windows Mobile 6.1 menambah tenaga digunakan dalam telefon pintar seterusnya mengurangkan jangka hayat bateri. Sebenarnya aplikasi digunakan dalam Windows Mobile 6.1 tiada kaitan dengan jangka hayat penggunaan bateri telefon bimbit.

Ia bergantung kepada telefon bimbit tertentu dan bukan terletak kepada sistem operasi semata-mata, malah versi 6.1 hanya membabitkan beberapa pembaharuan dalam aplikasi yang lebih memudahkan. Windows Mobile 6.1 tidak membabitkan penstrukturan sistem operasi yang menyebabkan penggunaan bateri melaluinya sama dengan apa yang dialami ketika menggunakan versi 6.0. Penggunaan Windows Mobile menarik perhatian pelajar di peringkat tinggi, malah pembaharuan yang ditonjolkan melalui versi 6.1 membolehkannya disesuaikan ke persekitaran mereka. Windows Mobile 6.1 bukan tertumpu kepada pembangunan aplikasi kepada dunia perniagaan, tetapi ia diketengahkan ke peringkat lebih meluas termasuk kegunaan pelajar melalui beberapa aplikasi seperti Microsoft Office dan Windows Live," katanya.

Aplikasi Windows Live yang memungkinkan ruang sembang maya seperti MSN Messenger dilakukan melalui telefon bimbit menjadi daya tumpuan diinginkan pelajar bagi memperbaharui corak komunikasi mereka bukan sekadar terhad kepada penggunaan PC semata-mata. Harga produk yang ditawarkan melalui peranti berasaskan Windows Mobile 6.1 kini disifatkan mampu milik. Beberapa vendor peranti mudah alih mengakui keberkesanan penggunaan Windows Mobile dalam pembangunan bersama produk mereka menyebabkan usahasama dengan Microsoft sentiasa diteruskan dalam usaha meningkatkan keperluan pengguna.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...