11 Januari 2008

TM R&D & Velchip bangunkan BPL

Bagi meningkatkan infrastruktur jalur lebar (broadband) di negara ini, TM Penyelidikan & Pembangunan Sdn. Bhd. (TMRND) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan Perjanjian Pelesenan Teknologi dengan sebuah penyelesaian rangkaian, Velchip. Dengan MoU berkenaan, TMRND & Velchip akan bersama-sama membangunkan produk Broadband Powerline (BPL) yang akan memudahkan penyampaian data kelajuan tinggi menerusi tenaga elektrik ke rumah & perniagaan di seluruh negara.

Kedua-dua syarikat teruja dengan proses produk BPL & pembangunan teknologi jalur lebar yang akan membuka era baharu bukan saja kepada syarikat telekomunikasi tetapi juga perniagaan & pengguna. Kini jalur lebar telah menjadi kunci utama perkhidmatan bagi rangkaian talian tetap & mudah alih. TMRND yakin kerjasama dengan Velchip, pihaknya akan menghasilkan produk BPL yang mencipta kapasiti bagi rangkaian operator bagi menghantar aplikasi lebar jalur (wideband) seperti persidangan video (video conferencing), aliran audio & video (streaming), permainan interaktif, perkhidmatan suara masa sebenar yang membawa Triple Play menjadi realiti. Malah, pihaknya bercadang menawarkan perkhidmatan berkenaan kepada 6 juta kediaman di seluruh negara. Velchip juga mendapat hak bagi mengilang, memasarkan & mengedar produk BPL yang dibangunkan di bawah terma Perjanjian Perlesenan Teknologi. Selain Malaysia, syarikat berkenaan juga bercadang memasarkan produknya ke China, India & Timur Tengah yang menawarkan potensi lebih besar. Syarikat velchip percaya perkongsian dapat mengukuhkan kekuatan syarikat berkenaan bagi membentuk satu piawaian bagi produk untuk kemudahan penggunaan, fungsi & mampu dibeli bagi permintaan pasaran kini.

Kerjasama dengan TMRND akan memberikan sinergi bagi menjelajah & meningkatkan inovasi jalur lebar sehingga ke hadnya. Velchip telah menyediakan platform BPL yang eksklusif pada 1998 & telah menggunakannya sebagai asas bagi meningkatkan skim rangkaian Wide Area Network (WAN) & Local Area Network (LAN). Velchip juga bercadang untuk menggunakan adapter 'homeplug' 224 Mbps supaya ia boleh menjadi tawaran bersama. Modem talian kuasa saiz tapak tangan hanya memerlukan pengguna menggunakan mana-mana plug di dinding & membolehkannya bersambung dengan kabel Ethernet atau terus kepada Wi-Fi. Ini akan memberikan pengguna akses serta merta kepada perkhidmatan Triple Play dengan suara, data & video yang disediakan dalam sambungan tunggal. MoU berkenaan berlangsung selama 5 tahun & akan diperbaharui secara automatik bergantung kepada keadaan & perjanjian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...