22 Januari 2008

FBI cipta sistem pintas e-mel

Polis Amerika Syarikat (AS) mencipta & menggunakan satu sistem yang dapat memintas & membaca e-mel pengguna Internet. Sistem laju itu, yang digelar Carnivore (Karnivora) dapat membaca satu juta e-mel sesaat. Ini bermakna pengguna Malaysia yang menghantar e-mel ke AS atau yang menggunakan khidmat e-mel percuma yang berpusat di negara itu seperti Hotmail & Yahoo boleh dipintas & disimpan dalam storan. Data ini dapat dikeluarkan menggunakan kaedah biasa pencarian pangkalan data, seperti kita menggunakan enjin carian Hotbot, misalnya.

Karnivora dipasang pada satu PC yang memintas semua lalu linats e-mel di negara itu & mempunyai keupayaan untuk menyaring kandungan dengan menggunakan kata kunci atau memilih sebarang pengguna sebagai identiti sasaran. Pencipta sistem itu, Biro Siasatan Persekutuan AS (FBI), membangunkan sistem pemintas ini di sebuah makmal khasnya. Sejak dilancarkan 2 tahun lepas ia digunakan untuk mengesan kira-kira 100 kes jenayah. FBI pernah mempamerkan sistem itu kepada pakar industri yang terkejut dengan keupayaannya & isu moral berkaitan. Ramai pemerhati bimbang FBI akan menggunakan sistem ini untuk tujuan bukan jenayah seperti mengumpul data pengguna, perbankan dalam talian & pemilihan laman web. Dalam pelaksanaannya, FBI meletakkan sistem PC yang dipasang Karnivora dipusat pembekal Internet. PC itu dikunci & hanya boleh disentuh oleh ejennya yang datang setiap hari untuk mengambil data dalam storan.

Menurut FBI, Karnivora lebih tepat daripada sistem pemintasan data Internet sebelum ini kerana ia membolehkan agensi memintas data berkaitan identiti sasaran daripada berjuta-juta lalu lintas digital lain. Versi awal sistem ini yang digelar Omnivore tidak dapat berbuat demikian walaupun ia dapat menyedut sehingga 6 gigabit data setiap jam. Agensi itu bagaimanapun mengakui bahawa Karnivora tidak dapat menterjemahkan data yang dikodkan rahsia. E-mel itu boleh dipintas tetapi ia terpaksa diterjemahkan menggunakan kaedah lain. Kebanyakan kes jenayah yang membabitkan penggunaan Karnivora adalah yang berkaitan dengan pemburuan penggodam (hacker), anti pengganas & pengedaran dadah. Pemerhati bebas bimbang sistem ini menggugat hak peribadi pengguna Internet & tidak ada akta yang dapat menyekat FBI untuk menggunakan Karnivora bagi sebarang matlamat. Ia seperti memintas semua perbualan telefon.

Untuk rujukan, hampir semua khidmat e-mel percuma seperti Hotmail & Yahoo berpusat di AS. Semua e-mel dari tempat lain ke Amerika juga boleh dipintas oleh Karnivora. Penentang projek itu mencadangkan pengguna yang menghantar data sensitif seperti maklumat perniagaan menggunakan program pengekodan untuk menyukarkan FBI membaca e-mel mereka. Lebih baik lagi, kuatkan keselamatan data dengan menggunakan tanda tangan digital. Mereka juga mencadangkan pengguna belajar menggunakan identiti atau secara 'autonomous'. Ramai juga berpendapat bahawa Karnivora menandakan tamatnya idea Internet yang asal sebagai satu tempat bebas bagi seluruh penduduk planet ini. Mereka bimbang FBI akan mengedarkan sistem ini kepada semua pasukan polis di dunia untuk mengumpul data rakyat mereka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...