27 November 2007

Yahoo ambil langkah cegah serangan virus


Yahoo Inc telah mengumumkan sistemnya mengandungi program yang berbahaya ditujukan kepada jutaan pengguna khidmat e-mel yang kini adalah pengguna terbesar di dunia. Menurut pembuat perisian keselamatan, Symantec Corp, cecacing yang dikenali sebagai 'Yamanner' dikatakan menjangkiti komputer penerima sejurus e-mel yang mempunyai virus itu dibuka & kemudiannya mengimbas senarai hubungan sebagai sasaran tambahannya. Sebahagian kecil daripada 200 juta akaun e-mel telah dijangkiti virus itu sejurus ia dikenalpasti tidak lama dahulu. Cecacing itu bagaimanapun tidak menjangkiti versi khidmat e-mel Yahoo berikutnya yang mana ia kekal dalam fasa ujian (beta). Langkah penyelesaian telah diambil untuk melindungi pengguna daripada serangan virus cecacing ini. Penyelesaian terbabit telah dilaksanakan secara automatik kepada semua pelanggan Yahoo Mail & bagi pihak pengguna mereka tidak perlu melakukan apa-apa lagi. Sebagai langkah berjaga-jaga terhadap pelbagai cecacing Yamanner, Yahoo menasihatkan pengguna e-mel syarikat itu mengemaskini program antivirus mereka & menyekat sebarang persamaan yang datang dari av3@yahoo.com.

26 November 2007

Lelaki sebar virus komputer

Los Angeles: Seorang lelaki mengaku bersalah menyebarkan virus kepada 250,000 komputer selain mencuri identiti beribu-ribu orang dengan merakam komunikasi dan menceroboh akaun bank mangsa. John Schiefer, 26, bersetuju mengaku bersalah di atas 4 tuduhan melakukan penipuan & merakam komunikasi dan boleh didenda sehingga AS$1.75 juta (RM5.95 juta) dan penjara sehingga 60 tahun. Pihak pendakwa Los Angeles berkata Schiefer dan sekumpulan penjenayah lain, bertindak menyebarkan kod komputer tertentu yang bertindak menceroboh komputer selain memintas mesej ke laman web Paypal.com dan laman web lain. Dia mencuri maklumat seperti nama & kata laluan yang digunakan bagi menceroboh akaun bank. Mereka berkata, Schiefer bertugas sebagai pakar runding keselamatan pada waktu siang, tetapi turut dikenali pakar penggodam 'Botmaster'. - AP

23 November 2007

Trend Micro umum ujian anti spam

Trend Micro Inc, peneraju dalam sistem keselamatan isi kandungan Internet & antivirus telah mengumumkan satu ujian anti spam dengan menggunakan enjin bersepadu Trend Micro Email Reputation. Ujian itu adalah bagi menghalang sebarang bentuk godaman inbox e-mel pengguna yang disebabkan serangan spam, sekaligus meningkatkan produktiviti pengguna daripada menjadi mangsa ancaman malware & phishing. Ujian yang dinamakan 'Trend Micro Email Reputaion' itu dijangka membuka ruang kepada pengguna mengatasi masalah ancaman spam pada masa depan kerana ia menyediakan penyelesaian terhadap serangan spam. Ia mengguna pakai salah satu reputasi pangkalan data yang mempunyai maklumat kira-kira 1.6 bilion IP pengguna dan perkhidmatan dinamik yang mampu mengenalpasti punca spam dalam masa sebenar, sekaligus mampu menghentikannya apabila ia muncul kali pertama.

20 November 2007

Pemacu USB dengan perisian Migo


Kingston Technology Company Inc (Kingston), memperkenalkan pemacu USB 8GB DataTraveler II Plus bersama perisian Migo kepada golongan profesional perniagaan & pengguna yang memerlukan ruang simpanan data yang besar. Perisian Migo memberikan kebebasan kepada pengguna menggunakan pelbagai unit komputer peribadi (PC) dari pelbagai lokasi, dengan memanfaatkan kandungan seperti e-mel, Internet, cookies, & fail. Apabila mereka kembali memanfaatkan PC masing-masing, perisian Migo akan menyelaraskan data bagi memastikan ia sentiasa dikemaskini antara data yang tersimpan dalam pemacu flash USB dengan data yang tersimpan dalam cakera keras. Antara ciri terkini yang disediakan ialah Format Mel Universal yang membolehkan pengguna mencapai mesej dalam mel elektronik walaupun menggunakan aplikasi berbeza seperti Windows Mail, Outlook & Outlook Express. Pemacu berkenaan dilengkapi dengan kata laluan yang membolehkan pengguna mencapai data pada mana-mana komputer peribadi.

19 November 2007

Maxis laksana perisian anti spam


Maxis Communications Bhd. melancarkan platform anti spamnya, yang direkabentuk untuk menyekat perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) yang tidak diminta, seperti SMS spof dan spam, daripada sampai kepada asas pelanggan talian pascabayar dan prabayarnya. Platform berkenaan telah dipasang dan beroperasi pada Julai 2007, lebih awal daripada tarikh akhir pelaksanaan penguatkuasaannya iaitu pada 30 September, yang ditetapkan oleh Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, demikian menurut Maxis dalam satu kenyataan yang telah dikeluarkan. Maxis merupakan syarikat telekomunikasi mudah alih pertama di Malaysia yang telah memasang perisian anti spam. Walaupun pelanggan tidak dicaj apabila menerima SMS yang tidak diminta, spam & spof amat mengganggu, dengan kesannya boleh membawa bahaya yang bertambah apabila perhubungan telefon disalah guna oleh pihak yang memanggil untuk menipu dari segi tuntutan & tawaran-tawaran yang cuba mengaburi mata pengguna telefon mudah alih. Ia adalah langkah yang telah dilaksanakan untuk memudahkan para pelanggan dan melindungi mereka daripada hubungan komunikasi yang tidak diinginkan. Sejak Julai 2007, platform anti spam, yang berfungsi sebagai firewall, telah menghapuskan lebih dari 1.2 juta SMS yang menceroboh daripada diakses oleh pelanggan, menurut Maxis. Pelanggan boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di talian 03-749 22 123 jika memerlukan penjelasan mengenai SMS yang diragui yang mereka terima.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...